Saturday 20 October 2012

Keajaiban Personaliti Umar al-Khattab

Umar lahir di Kota Mekah yang merupakan sebuah kota tumpuanbagi para pedagang. Beliau berasal daripada golongan kelas pertengahan. Walaupun pada ketika itu masyarakat Arab berada dalam zaman kegelapan, namun Umar adalah seorang yang berilmu pengetahuan. Dalam usia beliau yang masih dalam sekitar 20-an, Umar terkenal sebagai seorang pahlawan yang gagah berani.
      Sebelum beliau memeluk Islamm, beliau pernah menanam anak perempuannya secara hidup-hidup kerana budaya masyarakat Arab ketika itu tidak senang dengan kelahiran anak perempuan. Ketika Nabi Muhammad s.a.w menyebarkan ajaran Islam di Mekah, Umar adalah antara penentang yang paling kuat. Beliau bermati-matian mempertahankan ajaran batil turun-temurun kaum Quraisy. 
      Apabila beliaumengetahui adiknya sendiri memeluk Islam, beliau dengan segera pergi ke rumah adiknya bersama pedang yang terhunus. Pada hari itu ditakdirkan Umar yang gagah dapat dilembutkan dengan alunan beberapa potong ayat dari Quran., lantas menjadikan beliau pendokong Islam yang paling kuat. Sepanjang perjuangannya bersama Nabi Muhammad s.a.w., beliau terkenal sebagai seorang yang tegas dari segi mematuhi hukum-hukum Islam. 
      Apabila Umar dilantik menjadi khalifah Islam yang kedua, beliau berjaya memperluaskan empayar Islam dan mengatasi kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi. Sebagai ketua pemerintah sebuah empayar yang besar, Umar masih dengan cara hidup yang sederhana. Pernah pada satu ketika seorang kafir datang menghadap Umar dan terkejut apabila mengetahui khalifah sebuah empayar yang begitu besar hanya tinggal di dalam rumah yang sederhana. 
      Selaku khalifah, Umar tidak pernah mengambil wang sara hidup yang berlebihan daripada Baitulmal dan hanya mengambil sekadar keperluan minimumnya. Walaupun ada di kalangan sahabat yang  mengatakan, sebagai pemimpin yang bekerja keras untuk negara, beliau layak menerima lebih, namun beliau tidak pernah melihat kedudukan beliau sebagai suatu kelebihan tetapi hanya sebagai satu amanah.
      Sepanjang hayatnya selepas bergelar seorang Muslim, Umar terkenal sebagai seorang yang warak dan adil. Pernah satu ketika apabila beliau sedang mengagihkan wang Baitulmal, anak beliau yang mash kecil mengambil wang Baitulmal itu. Namun, Umar bertindak mengejar dan mengambil kembali satu dirham itu daripada anaknya kerana beliau tidak mahu keluarganya  mengambil apa yang bukan hak mereka. 
      Begitulah karakter seorang pemimpin besar Islam. Daripda seorang yang sanggup membunuh kerana malu, beliau menjadi seorang tokoh yang bertakwa. Proses transformasi Umar bermula dari dalam jiwanya sebaik sahaj beliau menghayati bait-bait dalam al-Quran. Tingkat ketakwaan Umar semakin tinggi kerana beliau menghayati setiap suruhan yang datang daripada Allah dan Rasulnya. Maka, sudah pasti isi ajaran Islam itu adalah rahsia yang membentuk keperibadian Umar.
      Islam adalah satu cara hidup yang mempunyai pakej lengkap. Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti dalam bukunya Fiqh Al- Sirah mencatat, Islam berjaya mengeluarkan masyarakat Arab Jahiliah daripada cara hidup yang hina menjadi sebuah masyarakat yang bermaruah. Para cendikiawan menyifatkan dakwah Rasulullah di Semenanjung Arab sebagai '23 tahun yang ajaib dalam peradaban manusia'.

No comments:

Post a Comment