Sunday 21 October 2012

Etika Dalam Kaunseling Kelompok


Pandangan Tokoh-tokoh


Etika kelompok adalah mengikut keperluan sesuatu kelompok. Menurut Gazda (1977), adalah penting bagi ketua kelompok untuk mengolah satu model bagi mencapai perubahan tingkah laku. Tambah beliau lagi, bila sesi dirakamkan ahli patut diberitahu yang mereka boleh memberhentikan rakaman bila-bila masa jika mereka merasakan ini menyekat penglibatan mereka.

     Bagi Feignberg (1977) pula, etika dalam kaunseling kelompok di mana ketua kelompok harus mempunyai latihan yang cukup dalam teori dan prosedur kelompok. Mereka juga harus sedar tentang kepelbagaian kesan yang mungkin timbul daripada prosedur dan proses kelompok.

      Memberikan pandangannya, Bindrim (1977) menyatakan menjadi satu polisi yang wajar jika ketua meminta ahli menandatangani satu perjanjian yang memerlukan mereka bersetuju supaya tidak berbincang atau menulis tentang perkara-perkara yang berlaku dalam kelompok atau mendedahkan identiti ahli lain.


Kelayakan Pemimpin Kelompok

Pemimpin kelompok mestilah mempunyai kelayakan profesional serta pengalaman yang diperlukan sesuai mengikut kelompok yang mereka pimpin. Pemimpin seharusnya seorang yang teraputik, cekap dan berkesan serta bersedia untuk dicabar dan diuji untuk mendapatkan kepercayaan.

      Pemimpin kelompok juga mesti mempunyai fokus yang jelas terhadap tujuan dan matlamat kelompok, memilih kaedah-kaedah yang sesuai dan mampu mengendalikan aktiviti-aktiviti sepanjang perjalanan kelompok bagi mencapai tujuan dan matlamat sesuatu kelompok itu.

     Pemimpin kelompok mestilah bijak mengendalikan kelompok. Seandainya terdapat sebarang bentuk pertentangan di dalam kelompok, contohnya desakan kelompok yang bercanggah dengan kehendak ahli-ahl lain, pemimpin perlulah peka dan bertindak bijak mengatasi isu tersebut. Seandainya ada ahli yang menjadi sasaran di dalam kelompok, pemimpin haruslah berani campur tangan.

     Sebagai pemimpin kelompok, perlulah turut melakukan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh ahli-ahli kelompok sebagai sokongan kepada kelompok untuk melakukan perkara itu dengan penuh yakin dan berani. Pemimpin juga harus faham tentang nilai-nilai dalam kelompok dan sedar bahawa nilai-nilai itu adalah selaras dengan etika profesionnya.
Etika dalam kaunseling kelompok juga melibatkan tanggungjawab yang dituntut daripada seorang ahli profesional seperti kaunselor atau pemimpin kepada kelompok yang spesifik seperti orang-orang yang memerlukan bantuan atau sesuatu khidmat dari pemimpin tersebut. Menjadi tanggungjawab pemimpin kelompok untuk memaklumkan kepada bakal ahli kelompok tentang prosedur dan matlamat kelompok, peraturan kelompok, teknik-teknik yang akan digunakan, harapan ahli, risiko psikologikal dan faktor lain yang boleh mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan kelompok.

     Ahli kelompok seharusnya bersedia mentafsirkan pembelajaran mereka dalam kelompok dengan kehidupan seharian mereka dan menggunakannya dengan berkesan. Jesteru itu etika kaunseling kelompok berkait rapat dengan prinsip-prinsip akhlak dan moral yang perlu ada pada kaunselor semasa sesi kaunseling dijalankan. Semasa sesi perjanjian dijalankan satu perjanjian bertulis perlu dimenterai antara ahli dengan kaunselor. Prosedur ini penting kerana melindungi hak-hak ahli dan juga kaunselor.

       Pemimpin kelompok seharusnya berusaha menggendalikan sesi kelompok dan seterusnya menilai kesan bagi kelompok pimpinannya. Proses susulan di dalam kelompok adalah penting kerana ia merupakan satu aspek akauntabiliti pemimpin kelompok. Melalui proses ini juga akan mendorong ahli kelompok untuk meneruskan tingkah laku positif yang mereka pelajari dalam kelompok setelah mengetahui adanya proses susulan setelah tamat sesi kelompok.

    Akhirnya, pemimpin kelompok perlu berwaspada dengan tanda-tanda kelemahan psikologikal ahli kelompok seperti ahli menangis sepanjang masa berada di dalam kelompok, ahli seperti dalam keadaan celaru serta tertekan (berada dalam dunianya yang tersendiri), ahli berdiam diri sepanjang masa dalam kelompok dan tanda-tanda psikologikal lain. Ini menandakan penglibatan mereka di dalam kelompok harus di tamatkan.

   Adalah tidak beretika mengamalkan kaunseling tanpa persediaan yang rapi American Group Psychotherapy Association dan Association for Specialists in Group Work (ASGW), menggariskan secara terperinci, piawaian terbaik bagi latihan yang diperlukan oleh kaunselor.

Kerahsiaan

Kerahsiaan merupakan salah satu etika di dalam kelompok yang perlu dititikberatkan. Ahli-ahli perlu mendapat makluman tentang kerahsiaan di dalam kelompok, seawal waktu penstrukturan, semasa sesi berjalan dan apabila kelompok berakhir. Maklumat kelompok tidak akan diberitahu kepada mana-mana pihak melainkan setelah mendapat kebenaran dan persetujuan kelompok demi kebaikan kelompok sendiri.

     Selain daripada itu identiti setiap ahli dalam kelompok hendaklah dirahsiakan dan menjadi tanggungjawab ke atas semua ahli (Kod Etika Kaunselor, 2005)




No comments:

Post a Comment