Wednesday 2 January 2013

Kaunseling Kerjaya dalam Silang Budaya


Etnik, budaya dan bangsa adalah satu perkara yang kompleks dan sensitif. Ia boleh menjadi satu keunikan dan kekuatan kepada sesebuah negara jika ditangani dengan baik. Namun ia juga boleh menjadi pemusnah dan penenggelam kemakmuran negara jika keunikannya gagal diuruskannya dengan adil, jujur dan berhemah. Kunci kepada kejayaan pengurusan kepelbagaian demografi masyarakat ini ialah kefahaman dan kepakaran menguruskan aspek silang budaya dalam semua lapangan termasuk kerjaya.
      Pemahaman tentang keunikan demografi di Malaysia seperti yang dibincangkan sebelum ini, amat membantu para kaunselor untuk menjalankan Kaunseling Kerjaya dengan lebih berkesan. Lebih-lebih lagi bagi kaunselor yang berada di sekolah yang mempunyai kepelbagaian kaum seperti Melayu, Cina dan India. Kaunselor mesti berhati-hati dalam menangani pelajar yang daripada etnik dan budaya yang berlainan bagi mengelakkan salah faham di kalangan klien. Jelas di sini, kaunseling silang budaya amat kritikal sekali dalam konteks perlaksanaan kaunseling samada kerjaya, keluarga atau individu di Malaysia samada di sekolah, IPT atau di tempat kerja. Ini kerana, melalui kaedah perlaksanaan dan pendekatan yang betul, kepercayaan klien dapat dipupuk dan dibentuk. Ianya boleh mengelakkan mereka meninggalkan sesi kaunseling sebelum ianya selesai.  
     Kajian oleh Quek Ai Hwa (2007) menunjukkan Kaunselor yang berpengetahuan tentang trend demografi di Malaysia akan lebih mampu untuk memahami kliennya, mendalami permasalahannya, membantu dia (klien) menghadapi halangan psikologikalnya dan berkerjasama dengan klien untuk membuat pelan perancangan kerjaya. Gerald Corey, seorang pakar psikologi menggambarkan aspek silang budaya sebagai “cabaran keempat” dalam bidang kaunseling bersama dengan psikodinamik, perlakuan dan perspektif kemanusiaan. Ini kerana, budaya mempunyai pengertian yang amat luas dan mencakupi banyak aspek seperti jantina, usia dan sebagainya; kaunseling silang budaya amat kompleks dalam konteks hubungan kaunselor-klien; budaya terdiri daripada simbol objektif dan perspektif subjektif yang tidak difahami oleh individu lain; persamaan dan kelainan budaya sama-sama penting dalam proses kaunseling; perspektif silang budaya relevan dengan semua aspek praktis kaunseling; silang budaya boleh menyebabkan konflik tanpa perlu ada pihak yang betul atau salah. Oleh itu, adalah tidak beretika bagi kaunselor jika mengabaikan aspek budaya dalam pengendalian kumpulan kaunseling. Ini kerana budaya dan etnik adalah faktor penting dalam kehidupan manusia di mana di sinilah mereka mendapat panduan untuk berkelakuan, berinteraksi dan berhubungan. Ianya patut digunakan sebagai medium terutama dalam perlaksanaan Kaunseling. Jika semua kaunselor patuh dengan etika dan bersifat profesional, isu silang budaya dalam kaunseling tidak akan timbul dan sekaligus membuang semua prejudis kepada kaunselor-kaunselor. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama akan memandang tinggi kepada institusi kaunseling sebagai wadah untuk membangunkan masyarakat dan negara.
      Dalam konteks ini, profesion Kaunseling  mampu untuk berperanan melahirkan masyarakat berbilang kaum yang saling mempercayai dan berkerjasama. Kaunseling boleh menjadi wadah yang boleh diyakini profesionalismenya jika semua kaunselor mampu menangani isu kepelbagaian budaya dalam sesi kaunseling dengan baik dan cekap. Ini boleh membantu mencapai gagasan 1 Malaysia dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu padu dan saling membantu.