Sunday 21 October 2012

Definisi Etika Kaunseling Kelompok


Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat resam, kebiasaan dan budi pekerti. Dengan kata lain etika merupakan sesuatu yang berkaitan dengan peraturan masyarakat yang terdiri dari tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan dengan tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang masyarakat. Peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan itu juga bersifat konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam sesebuah masyarakat.

Menurut Kamus Dewan DBP (Edisi Ketiga, 2002), etika adalah prinsip atau nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang atau dengan kata lain garis panduan yang harus dipatuhi oleh seseorang semasa menjalankan tugas mereka.

Etika (dalam Abdul Rahman Md. Aroff, 1999) adalah disiplin falsafah yang memberi perhatian khusus kepada penilaian kritikal terhadap norma dan piawai yang mewajarkan kelakuan persaorangan serta antara individu. Durkheim (1961) pula menyatakan bahawa etika terdiri daripada suatu sistem peraturan yang telah ditentukan terlebih dahulu tentang bagaimana seseorang itu mesti bertindak dalam situasi tertentu.

Etika adalah suatu tindakan yang menuntut kepatuhan terhadap piawaian profesional serta undang-undang tentang apa yang dianggap betul dan yang salah. Menurut Othman Mohamed (1999), kod etika merupakan tatasusila yang menentukan peraturan kawalan diri terhadap praktis yang dijalankan oleh ahli sesuatu profesion. Ianya merupakan standard asas bagi mencerminkan satu praktis profesional. 

Etika juga boleh membawa maksud yang berlainan tetapi saling berhubungan di antara satu dengan yang lain, iaitu ;
  1) pola hidup am atau suatu cara hidup
  2) set peraturan tingkah laku atau kod moral
  3) tatacara mengenai cara hidup atau peraturan tingkah laku.

Daripada beberapa definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa etika mengkaji tingkah laku manusia sama ada patut atau tidak manusia bertingkah laku (bagaimana seharusnya manusia bertingkah laku). Etika melibatkan peraturan masyarakat yang didasarkan norma-norma dan nilai-nilai yang baik di dalam sesebuah masyarakat itu. Oleh itu mematuhi kod etika dianggap penting bai membantu membuat keputusan dalam pengendalian kelompok.

No comments:

Post a Comment