Saturday 9 March 2013

Keperluan Kaunselor Mengetahui Latarbelakang Agama dan Spiritual Klien

Pengenalpastian latar belakang agama dan kepercayaan klien adalah penting dalam usaha untuk  mengenalpasti permasalahan dan menggalakkan perhubungan dan kefahaman kaunselor. Dalam hal ini penilaian tersebut perlu dilaksanakan demi memastikan kelicinan perjalanan proses kaunseling. Penilaian aspek latarbelakang klien perlu dibuat terlebih dahulu adalah bertujuan untuk :
  • Menolong terapis dan kaunselor memahami pandangan klien terhadap dunia dan seterusnya meningkatkan keupayaan kaunselor untuk empati serta memahami dan berusaha untuk membantu mereka dengan lebih efektif( Richards dan Bergin, 2002)
  • Membolehkan kaunselor menentukan samada orientasi agama dan spiritual klien adalah sihat ataupun sebaliknya dan melihat kesan ke atas masalah dan gangguan yang mereka alami.
  • Menolong terapis menentukan samada kepercayaan spiritual dan agama klien dapat digunakan sebagai sumber untuk menolong mereka menyesuaikan diri dalam proses penyembuhan.
  • Menolong terapis menentukan intervensi spiritual yang bersesuaian dalam usaha untuk menolong klien 
  • Membantu terapis menentukan samada klien mempunyai keraguan, masalah serta keperluan spiritual yang belum diselesaikan.
     Kaunselor yang gagal untuk melihat dan menitikberatkan aspek agama dan spiritual boleh dikatakan mengabaikan sebahagian daripada identiti klien. Ini adalah kerana aspek spiritual banyak melibatkan isu-isu seperti perhubungan, pemilihan dan perkembangan kerjaya, kehidupan dan kematian. Justeru, pengabaian nilai spiritual boleh memberi kesan yang negatif kepeda perhubungan kaunseling.

Kaedah dan Pendekatan Paradigma Tauhid

Kaedah pengurusan stress pendekatan paradigma tauhid bersifat menyeluruh yang berasaskan untuk membangunkan individu sesuai dengan fitrah dan keistimewaan kejadiannya sebagai khalifah di muka bumi. Pendekatan berkenaan adalah selaras dengan model yang telah dinyatakan sebelum ini, di mana ia memfokus kepada kualiti hidup, amalan nilai, amalan tingkah laku, persepsi terhadap kemajuan dan perubahan dan prinsip kebebasan.Ianya mengkehendaki individu berkenaan meletakkan hubungannya dengan Allah SWT, memahami tujuan dan peranan hidupnya di dunia serta matlamat akhir kehidupan seseorang manusia yang lebih kekal abadi di Akhirat. 

  1. Kaedah pengikatan keyakinan dan kepercayaan ( Aqidah)
  2. Kaedah pembinaan pemikiran
  3. Pengikatan riadah dan rekreasi
  4. Pengikatan kemasyarakatan
  5. Kaedah pencegahan

Friday 8 March 2013

Sunat-Sunat Wuduk

  1. Membaca bismillahirrahmanirrahim pada permulaan berwuduk.
  2. Membasuh kedua-dua telapak tangan sampai pergelangan 
  3. Berkumur-kumur
  4. Membasuh lubang hidung sebelum berniat
  5. Menyapu seluruh kepala dengan air
  6. Mendahului anggota kanan daripada yang kiri
  7. Menyapu kedua telinga luar dan dalam
  8. Membasuh dengan tiga kali
  9. Menyela-nyela jari-jari tangan dan kaki
  10. Membaca doa sesudah wuduk.



Wednesday 6 March 2013

Mohon Perbaiki Agama Dan Dunia

" Ya Allah perbaikilah untukku agamaku yang menjadi pemelihara urusanku dan perbaikilah bagiku duniaku yang didalamnya berlaku kehidupanku, dan perbaikilah untukku akhiratku yang kepadaNya lah tempat kembaliku,. Jadikanlah kehidupanku merupakan tambahan bagiku terhadap segala rupa kebajikan dan jadikanlah kematian waktu beristirehat daripada segala kejahatan " (HR Muslim)

Mohon Keteguhan Hati Dalam Iman

" Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan sesungguhnya Engkau jugalah Tuhan yang melimpah-limpahkan pemberian-Nya"
(Surah Ali-Imran : 8)

Doa Taubat


" Kami bertaubat kepada Allah, Kami bertaubat kepada Allah, Kami bertaubat kepada Allah dan kami kembali kepada Allah dan kami menyesal terhadap apa yang kami lakukan. dan kami berazam bahawa kami tidak akan kembali berbuat dosa untuk selama-lamanya. Dan kami terlepas daripada tiap-tiap agama yang menyalahi agama Islam dan kami bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, Dan Kami bersaksi dengan sesunggguhnya bahawa nabi Muhammad s.a.w itu Rasul Allah. Kami telah redha bahawa Allah itu Tuhan kami; dan Islam itu sebagai agama kami; dan penghulu kami Muhammad s.a.w itu Nabi dan Rasul. Ya Allah! Limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabatnya sekalian. Kurniakanlah kepadanya kesejahteraan yang sempurna dan jadikanlah penyayang dan pengasih terhadap kami orang-orang mukmini sekalian."

Saturday 2 March 2013

Etika,Kesempurnaan Kecekapan Dalam Pelbagai Budaya

ETIKA DALAM PROSES MENOLONG
Etika memainkan peranan penting dalam proses memberikan pertolongan dari kaunselor kepada kliennya. Ini disebabkan etika memberikan beberapa panduan kepada kaunselor dalam memberikan perkhidmatan kepada klien dan menjaminkan keselamatan dan kerahsiaan klien terpelihara.
     Kecekapan kaunselor dalam menjalankan sesi kaunseling telah ditetapkan dalam etika iaitu kaunselor harus memenuhi beberapa syarat seperti kelayakan dan penyeliaan bagi menjalankan sesi kaunseling. Persetujuan termaklum merupakan suatu penerangan kaunselor kepada klien berkenaan matlamat dan hala tuju kaunseling. Prosedur kaunseling dan lain-lain kepentingan yang melibatkan klien dan kaunselor. Kaunselor harus memastikan bahawa dia tidak menyalahgunakan kuasa yang ada padanya iaitu dengan mengambil kesempatan di atas kelemahan klien terhadapnya.
      Kunci keoada isu etika dalam sesi kaunseling termasuklah membuat keputusan bahawa kaunselor boleh bekerjasama dengan klien dan boleh menggunakan kuasa yang ada pada kaunselor secara sah. Ini menunjukkan bahawa kerjasama merupakan faktor asas dalam membantu klien menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunselor boleh menggunakan kuasa yang ada padanya iaitu membantu klien mencapai apa yang diingininya sewaktu proses kaunseling sedang berjalan.
     Setiap klien yang ditemui mempunyai keunikan latar belakang yang berpunca daripada perbezaan budaya dan atas dasar inilah kaunselor perlu bijak untuk menangani setiap permasalah klien dan cuba menjadikan dirinya sebahagian daripada latar belakang yang penuh dengan keunikan itu. Ini bermakna kaunselor bukan setakat perlu menyelami perasaan klien tetapi harus melihat sesuatu persoalan itu dari perspektif pandangan latar budaya klien itu sendiri.


KECEKAPAN LATIHAN DAN PENILAIAN KENDIRI
Kecekapan latihan dan penilaian kendiri dapat dinilai daripada latihan amali dan pengalaman. Ia berguna kerana dengannya ia dapat meninggikan tahap kesedaran kendiri, emosi dan abiliti untuk membuat penilaian terhadap diri sendiri. Ini bermaksud untuk menjadikan seseorang kaunselor itu cekap maka latihan yang berpanjangan dan berterusan amat perlu. Melalui latihan amali seseorang kaunselor itu dapat menambahkan pengalamannya dalam bidang yang diceburinya.
     Latihan kecekapan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian yang pertama ialah latihan kendiri. Latihan kendiri membenarkan sesorang kaunselor itu untuk mempelajari konsep yang terdapat dalam kaunseling kerana melalui latihan kendiri ini, kaunselor lebih dekat kepada pengaplikasian konsep dan teori yang dipelajarinya. Selain itu latihan kendiri juga membenarkan kaunselor untuk mengenalpasti  segala kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
     Manakala yang kedua pula ialah latihan secara kumpulan. Ini kerana latihan bersendirian sebenarnya tidak dapat membantu untuk menjadi kaunselor yang lebih efektif. Latihan berkumpulan membolehkan ahli dalam kumpulan memberikan pendapat bagi memantapkan lagi teori dan amali yang dipelajari. Latihan berkumpulan juga membenarkan ahlinya untuk menegur dan membuat kritikan ke arah kesempurnaan kendiri seseorang klien itu sendiri. Melalui teguran dan kritikan rakan sekumpulan memudahkan kaunselor melihat apakah kekurangan yang dimilikinya serta dapat memperbetulkan kesalahan tersebut dengan bantuan ahli kumpulan.
     Yang terakhir ialah penilaian kendiri. Melalui penilaian kendiri ita dapat mengetahui sejauh manakah tahap kecekapan diri menurut pandangan penilai atau orang lain terutama klien sendiri. Penilaian kendiri sebenarnya memudahkan kaunselor untuk mencari kekuatan dan kelebihan yang ada pada dirinya serta dapat membuat refleksi kendiri untuk kepentingan perkhidmatan yang akan diberikannya kepda klien.
    Terkadang kita sering terlupa bahawa kita mempunyai klien yang mempunyai latar belakang yang pelbagai. Latar belakang yang berbeza ini merupakan suatu keistimeaan bagi setiap individu. Perbezaan latar belakang budaya klien ini merupakan suatu keunikan pada setiap klien. Justeru itu, kaunselor harus bijak untuk menangani klien yang pelbagai budaya terutama klien yang mempunyai perbezaan budaya dengan kaunselor sendiri. Kaunselor harus bijak menggunakan kemahiran dan pengalamannya serta dapat mengekploitasikan kedua-duanya untuk membantu klien yang sebegini.
     Melalui kaedah latihan kumpulan, maibn peranan amat dipentingkan kerana melalui kaedah ini kita dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri kita. Melalui komen rakan-rakan menjadikan kita sedar akan kesalahan yang dilakukan. Main peranan amat penting agar kita boleh membuat analisa dan pemerhatian terhadap kelemahan dan kekuatan yang terdapat pada diri kaunselor. Main peranan sebenarnya membolehkan kaunselor untuk merasai situasi sebenar perasaan serta pengalaman hidup klien.
     Latihan kendiri pula digunakan antara lain tujuannya ialah untuk menguji sejauh manakah tahap pancapaian kita dalam mempersembahkan apa yang telah kita perolehi.
     Latihan berkumpulan pula berkaitan dengan latihan yang dilakukan dengan ahli kumpulan untuk menambahkan kecekapan. Anatara cara yang disarankan ialah dua atau lebih kumpulan duduk untuk membuat latihan. Salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut dilantik menjadi pemerhati yang bertujuan untuk memberi komen dan kritikan yang baik. Sebaiknya dapatkanlah seorang yang benar-benar sukarela dan ikhlas agar latihan yang dijalankan ini mendatangkan faedah dan berguna serta boleh diaplikasikan dalam konteks yang sebenar.

Wednesday 2 January 2013

Kaunseling Kerjaya dalam Silang Budaya


Etnik, budaya dan bangsa adalah satu perkara yang kompleks dan sensitif. Ia boleh menjadi satu keunikan dan kekuatan kepada sesebuah negara jika ditangani dengan baik. Namun ia juga boleh menjadi pemusnah dan penenggelam kemakmuran negara jika keunikannya gagal diuruskannya dengan adil, jujur dan berhemah. Kunci kepada kejayaan pengurusan kepelbagaian demografi masyarakat ini ialah kefahaman dan kepakaran menguruskan aspek silang budaya dalam semua lapangan termasuk kerjaya.
      Pemahaman tentang keunikan demografi di Malaysia seperti yang dibincangkan sebelum ini, amat membantu para kaunselor untuk menjalankan Kaunseling Kerjaya dengan lebih berkesan. Lebih-lebih lagi bagi kaunselor yang berada di sekolah yang mempunyai kepelbagaian kaum seperti Melayu, Cina dan India. Kaunselor mesti berhati-hati dalam menangani pelajar yang daripada etnik dan budaya yang berlainan bagi mengelakkan salah faham di kalangan klien. Jelas di sini, kaunseling silang budaya amat kritikal sekali dalam konteks perlaksanaan kaunseling samada kerjaya, keluarga atau individu di Malaysia samada di sekolah, IPT atau di tempat kerja. Ini kerana, melalui kaedah perlaksanaan dan pendekatan yang betul, kepercayaan klien dapat dipupuk dan dibentuk. Ianya boleh mengelakkan mereka meninggalkan sesi kaunseling sebelum ianya selesai.  
     Kajian oleh Quek Ai Hwa (2007) menunjukkan Kaunselor yang berpengetahuan tentang trend demografi di Malaysia akan lebih mampu untuk memahami kliennya, mendalami permasalahannya, membantu dia (klien) menghadapi halangan psikologikalnya dan berkerjasama dengan klien untuk membuat pelan perancangan kerjaya. Gerald Corey, seorang pakar psikologi menggambarkan aspek silang budaya sebagai “cabaran keempat” dalam bidang kaunseling bersama dengan psikodinamik, perlakuan dan perspektif kemanusiaan. Ini kerana, budaya mempunyai pengertian yang amat luas dan mencakupi banyak aspek seperti jantina, usia dan sebagainya; kaunseling silang budaya amat kompleks dalam konteks hubungan kaunselor-klien; budaya terdiri daripada simbol objektif dan perspektif subjektif yang tidak difahami oleh individu lain; persamaan dan kelainan budaya sama-sama penting dalam proses kaunseling; perspektif silang budaya relevan dengan semua aspek praktis kaunseling; silang budaya boleh menyebabkan konflik tanpa perlu ada pihak yang betul atau salah. Oleh itu, adalah tidak beretika bagi kaunselor jika mengabaikan aspek budaya dalam pengendalian kumpulan kaunseling. Ini kerana budaya dan etnik adalah faktor penting dalam kehidupan manusia di mana di sinilah mereka mendapat panduan untuk berkelakuan, berinteraksi dan berhubungan. Ianya patut digunakan sebagai medium terutama dalam perlaksanaan Kaunseling. Jika semua kaunselor patuh dengan etika dan bersifat profesional, isu silang budaya dalam kaunseling tidak akan timbul dan sekaligus membuang semua prejudis kepada kaunselor-kaunselor. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama akan memandang tinggi kepada institusi kaunseling sebagai wadah untuk membangunkan masyarakat dan negara.
      Dalam konteks ini, profesion Kaunseling  mampu untuk berperanan melahirkan masyarakat berbilang kaum yang saling mempercayai dan berkerjasama. Kaunseling boleh menjadi wadah yang boleh diyakini profesionalismenya jika semua kaunselor mampu menangani isu kepelbagaian budaya dalam sesi kaunseling dengan baik dan cekap. Ini boleh membantu mencapai gagasan 1 Malaysia dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu padu dan saling membantu.