Friday 28 September 2012

Tujuan Kaunseling



Para profesional dalam bidang kaunseling dan psikoterapi mempunyai pendapat berbeza mengenai kaunseling dan psikoterapi. Kaunseling mempunyai dua tujuan, iaitu tujuan proses dan tujuan terakhir. Tujuan atau matlamat proses adalah apa yang ingin dicapai dalam masa yang singkat. Tujuan proses adalah dengan terus melibatkan klien dalam proses kaunseling sehingga kaunselor dan klien bersetuju yang klien tidak lagi memerlukan perkhidmatan lajut. Bagi mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal adalah penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak percaya dengan kaunselornya, maka tidak perlu meneruskan proses dan perhubungan kaunseling itu.

Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan perkhidmatan kaunseling dalam jangka masa panjang. Tujuan terakhir adalah perubahan dan perkembangan yang dialami klien hasil daripada perkhidmatan kaunseling. Antara konsep yang diutamakan adalah kesedaran kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi sepenuhnya, dan kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir adalah persoalan yang dihadapi manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah sahaja, bahkan adalah tujuan setiap manusia yang ingin hidup lebih bermakna, berfungsi dengan sepenuhnya, bergerak dan dinamik.

Lima tujuan kaunseling :
  • Menolong mengubah tingkah laku klien.
  • Menambahkan kemahiran klein mengendalikan kehidupannya sendiri, terutama mereka yang terlalu bergantung kepada orang lain atau bimbang dan ragu-ragu mengenai dirinya.
  • Menambahkan kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien diharapkan dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana, tahu bagaimana dan mengapa keputusan tertentu perlu dibuat, apakah kemungkinan akibat atau kesannya dan sedia menghadapi pelbagai risiko akibat keputusan itu.
  • Memperbaiki hubungan antara klien dengnan masyarakat. Ramai menghadapi masalah terutama dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Maslah ini mempunyai hubungan rapat dengan konsep kendiri, sama ada yang rendah atau sebaliknya. Diharapkan proses kaunseling dapat menolong klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain, misalnya perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya, dan seterusnya dalam masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu kesejahteraan hidup individu.
  • Membantu perkembangkan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti kebolehan dan bakatnya supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya.


Sedia dalam menolong klien

( Buku Teori & Amalan Kaunseling oleh Baharom Mohamad & Ilyas Hasyim )




No comments:

Post a Comment