Monday, 22 October 2012

Layakkah Aku Menjadi Permaisurinya


Batrisya. Gadis pujaan para teruna. Jika ada kata-kata untuk menggambarkan kecantikan dan keayuannya, pasti bait-bait ini menjadi pilihan. Wajahnya sebujur sirih, alis matanya lentik, pipinya bak pauh dilayang, bibirnya merah delima, rambutnya hitam ikal mayang

Siapa tidak kenal Batrisya? Pujaan jejaka dari kampung hulu hinggalah ke kampung seberang. Ada yang sanggup merantau dari bandar ke pekan hanya semata-mata untuk menyaksikan sendiri keindahan dan kecantikan Batrisya yang sering menjadi topik perbualan hangat setiap jejaka yang telah terkena panahan matanya. Mata yang sering kali melemparkan kerlingan manja sehingga mamak yang tengah buat roti canai pun boleh tersalah menu.

" Assalamualaikum"

Lontaran suara yang matang tersebut segera menarik perhatian Batrisya untuk melihat pemiliknya. Dia segera membetulkan rambutnya yang dibiarkan lepas separas bahu.

"Waalaikumsalam"

Jawapan yang sememangnya dinantikan oleh jejaka yang sedari tadi tercegat di atas tangga rumahnya. Tersentak jejaka tersebut apabila terlihat olehnya akan susuk yang begitu indah lagi menawan. Di dalam hati kecilnya berbisik

" Alangkah manisnya jika susuk yang indah ini dipelihara daripada pandangan ajnabinya"

" Astarghfirullahalazim.... apa yang aku fikir ni?" Jejaka tersebut beristighfar panjang. Betapa dia tadi telah tergoda oleh jelingan mata tersebut yang hanya merupakan panahan syaitan semata-mata. Dia segera menundukkan pandangannya. Dengan nada yang agak tegas dia pun bersuara.

" Ustaz Jamil ada?"

Dengan suara yang sengaja dilembutkan, Batrisya menjawab persoalan tersebut sambil matanya cuba menangkap pandangan jejaka tampan yang sedang berdiri di hadapannya.

" Ayah tidak ada di rumah. Dia baru saja ke masjid. Ada urusan di sana. Masuklah dahulu"

Urusan yang sememangnya dia sendiri tidak pasti kerana dia sendiri pun sudah tidak ingat bila kali terakhir dia menjejakkan kaki ke masjid yang hanya beberapa minit sahaja jauhnya dari rumahnya.

" Masuk? Ah! Tidak mungkinlah! Tidak mungkin aku menceroboh masuk ke dalam rumah seorang wanita yang haram bagiku" bisik hati kecilnya dengan penuh ketegasan.

" Tidak mengapa. Kalau sudah begitu, saya akan ke masjid sahaja. Terima kasih"
dia segera berlalu pergi tanpa menghiraukan Batrisya yang masih memerhatikan setiap langkah kakinya.

Selama ini, tidak ada seorang jejaka di kampung tersebut yang mampu memiliki cinta Batrisya. Biar diberikan tanah sedunia dan selautan emas sekalipun, Batrisya tidak mudah menyerahkan cintanya kepada mana-mana jejaka yang cuba memilikinya. Sudah hampir sekampung pinangan datang kepadanya, namun tidak ada satu pun yang menarik perhatiannya. Dia lebih selesa hidup membujang dan membuat lelaki-lelaki tersebut mabuk kepayang dan sakit rindu kerana terlalu ingin memilikinya. Dia berasa bangga apabila dipuja sebegitu.

Tetapi, sejak kemunculan jejaka tersebut yang tiba bagai angin lalu pada hari itu, Batrisya menjadi tidak keruan. Tidurnya sekejap ke kiri,sekejap ke kanan. Makannya tidak pernah kenyang dan perubahan pada puteri tunggal kesayangannya itu memang ketara sekali pada pandangan mata Ustaz Jamil.

Pada suatu malam yang sepi, setelah selesai solat berjemaah di masjid,Ustaz Jamil segera pulang ke rumah. Pada kebiasaannya, dia akan terus duduk di masjid sehingga larut malam sambil membincangkan urusan-urusan di kampung yang sudah sememangnya menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua kampung. Tidak lupa juga dia memberi tazkirah pendek buat santapan rohani setiap jiwa yang hadir untuk solat berjemaah. Tetapi, perasaannya kali ini tidak enak. Perubahan sikap Batrisya sangat merisaukan baginya. Dia melangkah pantas meredah angin malam.

Setibanya di rumah, dilihatnya Batrisya duduk termenung di tepi tangga. Hampir setiap malam Batrisya duduk di situ sambil memerhatikan bulan yang sememangnya pada waktu itu sedang mengambang penuh. Perlahan-lahan Ustaz Jamil menghampiri puteri kesayangannya itu.

Sejak pemergian isteri tercinta, Batrisya, yang selalu menjadi peneman dan penghibur Ustaz Kamil. Sungguh kasihnya dia pada Batrisya sehingga dia tidak pernah sanggup untuk menjentik anak itu walau sekalipun. Kedegilan Batrisya ketika diajak menunaikan solat juga tidak mampu ditanganinya.

Ustaz Jamil sedar, sebagai seorang bapa, betapa dia telah gagal mendidik anaknya menjadi wanita solehah sesuai pesanan arwah isterinya, dan kerana itulah dia menangis dan meratap sedih setiap kali dirinya datang "mengahadap" Allah. Bukan dia tidak mahu anaknya menjadi seorang mujahidah, dia cuma terlalu sayangkan Batrisya sehingga sebesar apapun kesalahannya, Ustaz Jamil tidak sedikitpun memarahi Batrisya. Walaupun begitu, setiap malam, Ustaz Jamil akan memberikan peringatan dan menceritakan pelbagai kisah Ummul Mukminin buat Batrisya kerana Batrisya sangat suka akannya.

Dan seperti biasa, pada malam itu, Ustaz Jamil berhajat untuk meneruskan ceritanya yang masih bersisa semalam. Dia duduk di sisi Batrisya kemudian menatap wajah ayu persis isterinya itu. Dia tersenyum sendiri terkenangkan saat dia dan isterinya duduk di tangga itu 10 tahun yang lalu. Tidak ubah seperti hari ini. Sungguhpun bertahun dia menanggung derita atas pemergian ratunya, dia tetap bersyukur kerana Allah masih menyayanginya dengan mengurniakan sebutir permata yang baginya begitu indah dan berharga.

" Abah, bulan itu cantik kan?" bisik Batrisya perlahan sambil matanya masih memerhatikan bulan yang nun jauh di sana. Tidak berkelip sedikitpun.

Ustaz Jamil segera mengalihkan pandangannya ke arah bulan tersebut. Lama dia berfikir sambil menatap bulan tersebut. Setelah hampir sepuluh minit, Ustaz Jamil pun bersuara.

"Cantik, nak. Bila bulan mengambang penuh macam ni, lagi cantik. Cuba lihat pula pada bintang-bintang yang mengelilingi bulan itu. Bintang pun tak kurang cantiknya. Tanpa bintang-bintang tu, bulan takkan tampak secantik dan semegah itu"

Ustaz Jamil mengatur ayat-ayatnya lagi. Malam ini, dia berhasrat untuk menyampaikan sebuah berita besar buat Batrisya. Berita yang dia sendiri pun tidak tahu akan penerimaannya nanti. Dia bersuara lagi.

"Batrisya...Bulan yang mengambang penuh dan cantik tu samalah seperti kaum wanita yang telah diciptakan oleh Allah di muka bumi ni. Diciptakan dengan fizikalnya yang menarik dan memang indah pada pandangan lelaki. Tetapi, setakat itu sajalah cantiknya. Sama seperti bulan tanpa cahaya bintang. Tidak akan jadi seindah bulan pada malam ini.

Tapi, bulan pada malam ni, dipagari dan dikelilingi oleh bintang-bintang yang gemerlapan sinarnya, tidak ubah seperti wanita-wanita yang menutup segala anugerah Allah itu dengan pakaian yang sepatutnya, yakni pakaian yang menutup aurat. Tidak ketat, tidak nipis, tidak jarang, tidak pula terlalu terang sehingga menarik perhatian mata-mata yang memandang. Wanita-wanita seperti itulah yang paling cantik Batrisya. Seperti cantiknya bulan yang dipagari bintang"

Hati kecil Batrisya tiba-tiba tersentuh apabila mendengarkan kata-kata ayahnya yang penuh bermakna itu. Dia cuba mencernanya perlahan-lahan dan kemudian menatap mata ayahnya dalam-dalam. Kemudian merenung semula ke arah bulan tersebut.

"Batrisya, abah ada sesuatu nak beritahu ini. Hari tu, waktu abah masih di masjid, ada pemuda datang jumpa abah. Taufik namanya. Budak itu baik orangnya, nak. Dari gaya dan cara dia membawa diri, abah tahu dia seorang pemuda yang soleh. Dah beberapa hari ni abah perhatikan dia. Solat jemaah di masjid tak pernah tinggal. Rajin pulak membantu orang-orang kampung membersihkan masjid tu. Hari tu, ayah terdengar dia bertarannum di masjid. Bagus sekali, nak. Orangnya sopan dan lemah lembut. Kalau boleh"

Belum sempat pun Ustaz Jamil menghabiskan ayatnya, Batrisya sudah mula memotong.

"Apa dia abah? Abah nak jadikan dia menantu abah ke? Abah, cuba abah fikir baik-baik. Layak ke perempuan macam Batrisya ini jadi pendamping lelaki soleh macam dia, abah? Solat pun sekali-sekala. Al-quran? Tak usahlah abah cerita. Dah bertahun agaknya Batrisya tak baca. Dah tak tahu kat mana Batrisya simpan. Pakai tudung pun tidak. Menutup aurat? Jauh sekali. Layak ke Batrisya untuk orang macam itu, abah?"

Dengan nada keras dan linangan air mata, Batrisya mengucapkan kata-kata tersebut. Dia sedih apabila mengenangkan segala kelemahan dan keburukan dirinya. Sedih apabila mengenangkan dirinya yang tidak pernah sekalipun "bertemu" Allah dalam tahun itu. Sedih apabila mengenangkan segala-galanya, tentang dirinya. Sungguh telah lama dia tersesat dan menjadi seorang pendosa. Cerita ayahnya mengenai bulan dan wanita menambahkan lagi kesedihannya.

Sungguh selama ini dia telah membiarkan dirinya menjadi mangsa pandangan mata-mata yang dipenuhi penyakit zina itu. Sungguh dia selama ini membiarkan susuknya yang menawan menjadi santapan bagi penagih-penagih cintanya. Terlalu banyak dosanya sehingga tidak terhitung lagi. Bukan dia tidak mahu berubah. Dia cuma takut akan pandangan orang-orang kampung terhadapnya nanti. Apa kata orang kampung andainya Batrisya yang selama ini dipuja-puja atas kecantikan dan keayuannya menutup semua anugerah itu dengan pakaian yang akan menghalang setiap mata yang cuba menembusinya? Dia cuma terlalu malu dan takut untuk berubah.

Taufik pula.Jejaka yang jauh sekali tinggi darjatnya berbanding dirinya yang lemas dibelenggu kesesatan yang dia ciptakan sendiri. Tidak perlu baginya untuk menemui dan mengenali Taufik sendiri. Dari cerita ayahnya sahaja dia sudah tahu betapa berbezanya dia dengan Taufik. Bagai langit dan bumi. Jejaka yang soleh seperti Taufik sesuaikah menjadi teman hidup seorang pendosa sepertinya? Dia tidak pernah lupa akan janji Allah buat seluruh umat manusia yang selalu disebut-sebutkan oleh ayahnya.

"Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik(pula)" (an-Nur 24:26)

Taufik sudah pastinya seorang lelaki yang baik. Tapi, dirinya? Siapa dirinya? Dia hanya seorang perempuan yang dia kira selayaknya menjadi milik lelaki-lelaki yang seringkali memuja dirinya kerana kecantikan yang dia tonjolkan jauh panggang dari api! Tidak mungkin lelaki seperti itu mahu, andainya wanita sepertinya menjadi suri hidup mereka.

Hanya akan memburukkan nama dan menjatuhkan maruah sahaja. Batrisya masih mendiamkan diri dengan deraian air mata. Menyesali segala kesilapan dan dosanya terhadap Yang Maha Esa. Dosanya terhadap Sang Pencipta yang telah mengurniakan dirinya dengan anugerah yang menjadi igauan wanita-wanita lain di kampung itu. Kecantikan. Itulah anugerah milik Allah yang selama ini telah dia cabuli dengan menonjolkannya buat tatapan lelaki lain selain lelaki yang selayaknya. Tidak lain tidak bukan, Suaminya.

"Ya Allah. Hamba berdosa pada-Mu. Masihkah lagi ada ruang di sisi-Mu buat hamba yang hina dan jijik ini?" ratap Batrisya tanpa menyedari bahawa Ustaz Jamil masih lagi ada di sisinya.

Batrisya sudah tidak kuasa untuk menatap bulan itu lagi. Setiap kali memandang bulan tersebut, dia akan merasa betapa ruginya dia sebagai seorang wanita yang telah menjual harga dirinya. Dia bangun perlahan-lahan lalu menaiki tangga rumahnya satu-persatu. Tiba-tiba, langkah lemahnya terhenti. Ustaz Jamil menarik lembut tangan mulus anaknya itu.

" Duduk sekejap,nak. Abah belum habis cerita lagi"  lembut tuturan Ustaz Jamil.

Batrisya segera melabuhkan punggungnya di atas tangga itu semula. Dia masih mendiamkan diri.

" Batrisya. Semalam Taufik datang jumpa Abah. Dia cakap" kata-kata Ustaz Jamil terhenti di situ seketika. Gugup juga untuk meneruskan ayatnya.

"Dia nak ambil Batrisya menjadi isterinya"

Batrisya yang sedari tadi mendiamkan diri terkejut. Mungkinkah dia tersalah dengar? Ah! Tak mungkin!

" Dia nak Batrisya menjadi suri hidupnya. Dia nak Batrisya jadi makmum yang akan dia imamkan di setiap solatnya. Dia nak Batrisya menjadi ibu kepada anak-anak yang bakal dia azankan nanti. Dia nak Batrisya jadi isteri yang akan dia bimbing dalam mengejar redha Ilahi"

Mengalir deras air mata Batrisya mendengar kata-kata lelaki separuh abad yang berada di depannya itu. Sungguh tidak pernah dia menyangka bahawa jejaka seperti itu akan memilih wanita sepertinya.

"Tapi, Abah, Batrisya tak"

Dia tidak segera menghabiskan kata-katanya. Pasti ayahnya sudah tahu apa yang bakal dia katakan.

" Jangan begitu, nak Dia ikhlas. Dia terima Batrisya seadanya. Abah tahu dia akan pimpin kau dengan baik, nak. Abah yakin pada dia. Jangan kau tolak lamarannya hanya kerana kau fikir kau tidak layak buatnya. Kerana kelemahanmu itulah kau perlukan pemimpin sepertinya. Percaya cakap abah, nak. Jangan sampai kau menyesal di kemudian hari"

Ustaz Jamil mematikan kata-katanyanya di situ. Kini, segalanya ada di tangan Batrisya. Tidak pula dia ingin memaksa Batrisya. Dia ingin Batrisya bahagia.

Merah pipi mulus Batrisya apabila Taufik memberikan kucupan hangat di dahinya pada hari mereka diijabkabulkan. Sungguh tidak dia sangka lelaki yg baru dia temui sekali, kini sudah sah menjadi suaminya. Pada saat itu juga, Batrisya merasakan cinta yang begitu besar lahir dari hatinya. Tulus dan suci buat Taufik satu-satunya.

Di dalam hati dia mengucapkan syukur yang tidak terkira tingginya ke hadrat Ilahi kerana menghadirkan seorang insan mulia dalam kehidupannya. Semoga dengan kehadiran lelaki mulia yang kini bergelar suaminya, mereka sama-sama dapat menjejak dan mencari cinta yang paling agung itu. Cinta yang tidak ada tandingnya. Cinta Ilahi.

Di dalam hati kecilnya berbisik.

"Kaulah kebahagiaanku ketika di dunia. Kau jugalah kebahagiaanku nanti di sana. Redhakanlah aku menjadi isterimu. Agar kita dapat bertemu dan bercinta semula di syurga." Mengalir air mata kasihnya tatkala merenung cincin di jari manis yang menjadi tanda ikatan cinta mereka berdua.

Sunday, 21 October 2012

Etika Dalam Kaunseling Kelompok


Pandangan Tokoh-tokoh


Etika kelompok adalah mengikut keperluan sesuatu kelompok. Menurut Gazda (1977), adalah penting bagi ketua kelompok untuk mengolah satu model bagi mencapai perubahan tingkah laku. Tambah beliau lagi, bila sesi dirakamkan ahli patut diberitahu yang mereka boleh memberhentikan rakaman bila-bila masa jika mereka merasakan ini menyekat penglibatan mereka.

     Bagi Feignberg (1977) pula, etika dalam kaunseling kelompok di mana ketua kelompok harus mempunyai latihan yang cukup dalam teori dan prosedur kelompok. Mereka juga harus sedar tentang kepelbagaian kesan yang mungkin timbul daripada prosedur dan proses kelompok.

      Memberikan pandangannya, Bindrim (1977) menyatakan menjadi satu polisi yang wajar jika ketua meminta ahli menandatangani satu perjanjian yang memerlukan mereka bersetuju supaya tidak berbincang atau menulis tentang perkara-perkara yang berlaku dalam kelompok atau mendedahkan identiti ahli lain.


Kelayakan Pemimpin Kelompok

Pemimpin kelompok mestilah mempunyai kelayakan profesional serta pengalaman yang diperlukan sesuai mengikut kelompok yang mereka pimpin. Pemimpin seharusnya seorang yang teraputik, cekap dan berkesan serta bersedia untuk dicabar dan diuji untuk mendapatkan kepercayaan.

      Pemimpin kelompok juga mesti mempunyai fokus yang jelas terhadap tujuan dan matlamat kelompok, memilih kaedah-kaedah yang sesuai dan mampu mengendalikan aktiviti-aktiviti sepanjang perjalanan kelompok bagi mencapai tujuan dan matlamat sesuatu kelompok itu.

     Pemimpin kelompok mestilah bijak mengendalikan kelompok. Seandainya terdapat sebarang bentuk pertentangan di dalam kelompok, contohnya desakan kelompok yang bercanggah dengan kehendak ahli-ahl lain, pemimpin perlulah peka dan bertindak bijak mengatasi isu tersebut. Seandainya ada ahli yang menjadi sasaran di dalam kelompok, pemimpin haruslah berani campur tangan.

     Sebagai pemimpin kelompok, perlulah turut melakukan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh ahli-ahli kelompok sebagai sokongan kepada kelompok untuk melakukan perkara itu dengan penuh yakin dan berani. Pemimpin juga harus faham tentang nilai-nilai dalam kelompok dan sedar bahawa nilai-nilai itu adalah selaras dengan etika profesionnya.
Etika dalam kaunseling kelompok juga melibatkan tanggungjawab yang dituntut daripada seorang ahli profesional seperti kaunselor atau pemimpin kepada kelompok yang spesifik seperti orang-orang yang memerlukan bantuan atau sesuatu khidmat dari pemimpin tersebut. Menjadi tanggungjawab pemimpin kelompok untuk memaklumkan kepada bakal ahli kelompok tentang prosedur dan matlamat kelompok, peraturan kelompok, teknik-teknik yang akan digunakan, harapan ahli, risiko psikologikal dan faktor lain yang boleh mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan kelompok.

     Ahli kelompok seharusnya bersedia mentafsirkan pembelajaran mereka dalam kelompok dengan kehidupan seharian mereka dan menggunakannya dengan berkesan. Jesteru itu etika kaunseling kelompok berkait rapat dengan prinsip-prinsip akhlak dan moral yang perlu ada pada kaunselor semasa sesi kaunseling dijalankan. Semasa sesi perjanjian dijalankan satu perjanjian bertulis perlu dimenterai antara ahli dengan kaunselor. Prosedur ini penting kerana melindungi hak-hak ahli dan juga kaunselor.

       Pemimpin kelompok seharusnya berusaha menggendalikan sesi kelompok dan seterusnya menilai kesan bagi kelompok pimpinannya. Proses susulan di dalam kelompok adalah penting kerana ia merupakan satu aspek akauntabiliti pemimpin kelompok. Melalui proses ini juga akan mendorong ahli kelompok untuk meneruskan tingkah laku positif yang mereka pelajari dalam kelompok setelah mengetahui adanya proses susulan setelah tamat sesi kelompok.

    Akhirnya, pemimpin kelompok perlu berwaspada dengan tanda-tanda kelemahan psikologikal ahli kelompok seperti ahli menangis sepanjang masa berada di dalam kelompok, ahli seperti dalam keadaan celaru serta tertekan (berada dalam dunianya yang tersendiri), ahli berdiam diri sepanjang masa dalam kelompok dan tanda-tanda psikologikal lain. Ini menandakan penglibatan mereka di dalam kelompok harus di tamatkan.

   Adalah tidak beretika mengamalkan kaunseling tanpa persediaan yang rapi American Group Psychotherapy Association dan Association for Specialists in Group Work (ASGW), menggariskan secara terperinci, piawaian terbaik bagi latihan yang diperlukan oleh kaunselor.

Kerahsiaan

Kerahsiaan merupakan salah satu etika di dalam kelompok yang perlu dititikberatkan. Ahli-ahli perlu mendapat makluman tentang kerahsiaan di dalam kelompok, seawal waktu penstrukturan, semasa sesi berjalan dan apabila kelompok berakhir. Maklumat kelompok tidak akan diberitahu kepada mana-mana pihak melainkan setelah mendapat kebenaran dan persetujuan kelompok demi kebaikan kelompok sendiri.

     Selain daripada itu identiti setiap ahli dalam kelompok hendaklah dirahsiakan dan menjadi tanggungjawab ke atas semua ahli (Kod Etika Kaunselor, 2005)




Kepentingan Etika Kaunseling Kelompok


Setiap profesion yang melibatkan interaksi antara individu, memerlukan satu bentuk peraturan atau etika yang tersendiri bagi keperluan ahli-ahlinya. Begitu juga di dalam kaunseling kelompok, etika memainkan peranan yang penting sebagai satu garis panduan atau peraturan untuk menjaga profesionalisma kaunselor, kepentingan ahli kelompok serta perjalanan kelompok itu sendiri.

Pandangan yang diberikan oleh Swanson & Van Hoose (1977) yang menyatakan, “Standard or code of ethics are designed to protect the public and also to give guidelines to practitioner so that difficulty with the law may be avoided by the person who follow the profesion’s code”, menguatkan lagi fakta di atas.


Di antara-antara kepentingan-kepentingan itu ialah;
  1. memberi perlindungan kepada ahli dalam profesion kaunseling daripada sebarang tindakan yang boleh menyebabkan “ public condemnation”( penghinaan masyarakat).
  2. Memberi perlindungan kepada klien daripada sebarang tindakan atau layanan yang tidak profesional, atau kecuaian pihak kaunselor.
  3. Sebagai pengukur kepada “self-regulation” dalam profesion itu sendiri.
  4. Melindungi kaunselor daripada tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini bukan disebabkan oleh kesalahan kaunselor itu sendiri.
  5. Mempertingkatkan keberkesanan diri melalui perkongsian pengetahuan dan kemahiran selaras dengan tuntutan dan kesedaran pihak klien berkaitan hak mereka dalam undang-undang.

Definisi Etika Kaunseling Kelompok


Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat resam, kebiasaan dan budi pekerti. Dengan kata lain etika merupakan sesuatu yang berkaitan dengan peraturan masyarakat yang terdiri dari tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan dengan tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang masyarakat. Peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan itu juga bersifat konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam sesebuah masyarakat.

Menurut Kamus Dewan DBP (Edisi Ketiga, 2002), etika adalah prinsip atau nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang atau dengan kata lain garis panduan yang harus dipatuhi oleh seseorang semasa menjalankan tugas mereka.

Etika (dalam Abdul Rahman Md. Aroff, 1999) adalah disiplin falsafah yang memberi perhatian khusus kepada penilaian kritikal terhadap norma dan piawai yang mewajarkan kelakuan persaorangan serta antara individu. Durkheim (1961) pula menyatakan bahawa etika terdiri daripada suatu sistem peraturan yang telah ditentukan terlebih dahulu tentang bagaimana seseorang itu mesti bertindak dalam situasi tertentu.

Etika adalah suatu tindakan yang menuntut kepatuhan terhadap piawaian profesional serta undang-undang tentang apa yang dianggap betul dan yang salah. Menurut Othman Mohamed (1999), kod etika merupakan tatasusila yang menentukan peraturan kawalan diri terhadap praktis yang dijalankan oleh ahli sesuatu profesion. Ianya merupakan standard asas bagi mencerminkan satu praktis profesional. 

Etika juga boleh membawa maksud yang berlainan tetapi saling berhubungan di antara satu dengan yang lain, iaitu ;
  1) pola hidup am atau suatu cara hidup
  2) set peraturan tingkah laku atau kod moral
  3) tatacara mengenai cara hidup atau peraturan tingkah laku.

Daripada beberapa definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa etika mengkaji tingkah laku manusia sama ada patut atau tidak manusia bertingkah laku (bagaimana seharusnya manusia bertingkah laku). Etika melibatkan peraturan masyarakat yang didasarkan norma-norma dan nilai-nilai yang baik di dalam sesebuah masyarakat itu. Oleh itu mematuhi kod etika dianggap penting bai membantu membuat keputusan dalam pengendalian kelompok.

Pengenalan Kaunseling Kelompok




Kaunseling Kelompok adalah satu proses antara individu (interpersonal process) yang melibatkan seorang kaunselor dengan beberapa orang ahli atau klien yang meneroka diri serta situasi yang dialami. Jadi proses ini menekankan pemikiran yang sedar, dari segi perasaan dan kelakuan. Tujuan kaunseling kelompok ini adalah untuk memperbaiki tingkah laku klien yang tidak mengikut norma-norma kehidupan yang tidak berkesan atau tidak mendatangkan faedah. Mengikut Corey (1990), kaunseling kelompok bertujuan mencegah serta memulih . Hansen et. al (1976), tujuan mencegah klien dari mengulangi tingkahlaku yang tidak diingini daripada berterusan. Dapat mengatasi masalah yang dihadapi sebelum masalah tersebut menjadi “serius”. Tujuan memulih pula adalah bagi klien yang sedang mengalami masalah yang “serius” di mana kaunseling kelompok merupakan satu proses intervensi untuk menukar kelakuan . 
Kaunseling kelompok berorientasikan masalah yang spesifik, sama ada masalah itu masalah pembelajaran, kerjaya, sosial atau emosi. Isi dan fokus perbincangan dalam kelompok sebahagain besarnya ditentukan oleh klien yang terdiri daripada individu yang normal (dapat berfungsi dengan sepenuhnya). Masalah-masalah yang sering di bawa ke dalam kelompok ialah berkaitan dengan tugas perkembangan dalam hidup seharian. Fungsi kaunseling kelompok ini serta klien adalah memberi sokongan dan empati yang diperlukan untuk menimbulkan suasana yang selamat dan menyembuh yang membawa kepada kepercayaan ahli berkongsi maklumat dan perasaan ke arah menimbulkan celik akal, membaiki sikap serta perlakuan.

Teori–teori kaunseling kelompok adalah “guidelines” yang digunakan supaya proses kaunseling yang dijalankan mendatangkan hasil yang baik atau efektif. Hansen et al (1976), “ each theory proposes a process whereby the counselor and group can participate in the process of changing the member’s behavior”.Dalam menjalankan sesi, kaunselor perlulah mematuhi beberapa etika demi matlamat yang hendak dicapai.

Konsep Guru Biasa dan Guru Bimbingan


KONSEP GURU BIASA
Guru biasa ialah guru yang tidak mendapat latihan khusus dalam bimbingan dan kaunseling Seperti :
-Guru mata pelajaran akademik.
-Guru non akademik
KONSEP GURU BIMBINGAN
Guru yang mendapat latihan khusus dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling.

Kaunseling Individu dan Kelompok




KAUNSELING
INDIVIDU
KELOMPOK
Suatu hubungan bersemuka antara Kaunselor & Klien
Kaunselor & Ramai
Perhubungan berlaku secara TERAPUTIK-(perhubungan yang sangat mesra dan intim serta sangat memahami)
Suatu perhubungan BERSEMUKA diantara BEBERAPA orang ahli dan Klien.
Mempunyai ciri KOMUNIKASI yang efektif & saling menghormati.
Perhubungan berlaku secara TERAPUTIK
Menerima klien tanpa SYARAT
Mempunyai ciri KOMUNIKASI yang efektif & saling menghormati ada KEJELEKITAN (mesra antara ahli kelompok seolah2 adik beradik)
TULEN dalam usaha membantu klien MEMAHAMI DIRI & PERSEKITARANNYA
Penerimaan ahli kelompok harus terbuka, tulen dalam usaha membantu klien MEMAHAMI DIRI & PERSEKITARAN.
DATA LOST
Semua ahli bersama-sama dalam proses penyelesaian masalah klien dengan lebih sensitif dan rasa kejelekitan.